Tuesday, 3 April 2012

Kepentingan Menabung

Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan menabung amat penting dalam kehidupan manusia. Amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil. Terdapat banyak cara untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa boleh membuka akaun di bank atas nama anak-anak untuk menggalakkan mereka menabung. Di samping itu, Jabatan Pelajaran Sarawak telah melancarkan program menggalakkan pelajar menabung sama ada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Antaranya, Program Wang Simpanan Saku yang telah dilaksankan di peringkat sekolah. Kelab Kewangan Sekolah akan mengurus wang simpanan saku tersebut. Oleh itu, amalan menabung boleh dikatakan membawa faedah yang banyak kepada kita.
   
   Amalan menabung boleh menyemai tabiat berjimat cermat, terutamanya dalam kalangan pelajar. Dengan adanya amalan ini, kita tidak akan boros dalam perbelanjaan seharian seperti makanan, hiburan dan sebagainya. kita akan menggunakan wang dengan cermat dan memastikan kita tidak terlebih guna wang yana ada pada kita. Misanya, seseorang yang berjimat cermat sudah tentu menggunakan separuh daripada wang perbelanjaan yang tidak dibelanjakan untuk ditabung  sama ada di dalam bekas tabung atau disimpan di bank. Penyimpan bank juga akan memperoleh dividen hasil daripada simpanan, bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jadi, amalan menabung berupaya memupuk kita lebih berjimat cermat untuk bila-bila masa.

   Di samping itu, amalan menabung boleh mengatasi masalah yang kita hadapi semasa kecemasan. Keadaan ini boleh digambarkan seseorang menyediakan payung sebelum hujan. Kita dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah, seperti mangsa dalam kemalangan atau ditimpa bencana. Misalnya, kita boleh menggunakan tabungan kita untuk menderma kepada mangsa Gaza. Selain itu, kita juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Hal ini disebabkan kita tidak mungkin dapat memperoleh sejumlah wang yang banyak dengan segera jika kita tidak ada wang tabungan. Untuk menyemai amalan yang murni ini dalam kalangan masyarakat, syarikat insurans telah menggalakkan masyarakat  supaya menabung dengan cara menawarkan skim tabungan yang pelbagai untuk kecemasan, iaitu kad perubatan.

   Selain itu, amalan menabung penting untuk hari tua. Sikap yang rajin menabung semasa masih muda, bertenaga, dan sihat akan menyenangkan pada hari tua. Dengan adanya wang, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih gembira dan selesa, bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-sengan kemudian. Kita harus bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Bagi umat Islam, wang yang ditabung boelh digunakan untuk menunaikan haji dan umrah pada masa hadapan.

   Lebih-lebih lagi, amalan menabung dapat memudahkan pembiayaan keperluan semasa dan yang akan datang. Kita telah mempunyai wang yang secukupnya untuk membiayai apa-apa sahaja yang diperlukan. Kita tidak perlu meminjam wang daripada lintah darat dan berhutang selama beberapa tahun. Kini, kebanyakan harga barang telah  meningkat dan perkhidmatan awam yang semakin meningkat harganya. Oleh itu, dengan ada tabunga, kita mampu membeli sesuatu yang diperlukan atau dikehendaki. Kita juga dapat membiayai pendidikan anak-anak di menara gading tanpa bergantung kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak. Selain itu, seseorang tidak mduah terjerat oleh lintah darat.

   Intihanya, amalan menabung amat mulia. Setiap individu perlu mengorak langkah untuk menabung. Amalan ini bukan sahaja dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara.  Dalam keadaan kemelesetan ekonomi dunia, rakyat juga dapat menghadapi kegawatan ekonomi ini dengan tabah kerana mempunyai tabungan yang cukup untuk membiayai kos hidup.

No comments:

Post a Comment